kelopak bunga berguguran

Follow by Email

Friday, August 31, 2012

Selamat beramal

Apabila seseorang menyatakan, “Aku cinta padamu”,

maka jawablah:

“Ahabbaka llazi ahbabtaniy lah”- Semoga Allah mencintaimu, yang Dialah membuat engkau mencintaiku keranaNya”

(Diriwayatkan oleh Abu Daud, anNasaai dan Ibnu Hibban dari hadis Anas)

Tuesday, August 28, 2012

Selamat menyambut Hari Kemerdekaan 31 ogos 2012

http://youtu.be/jkj6I1UwRM0

Sajak Pahlawan dan Tanah Air : Usman Awang

tanah air
Pahlawan sejati
dalam hatinya bernyanyi.

Tanahair dan bangsa
di mana terpaut cinta mulia.

Untukmu darah ini mengalir
padanya jasad ini cair

PAHLAWAN
jika hilangmu tanpa pusara
jika pusaramu tanpa nama
jika namamu tanpa bunga
penjajah mengatakan engkau derhaka
maka engkaulah pahlawan yang sebenarnya

Gema seabad silam
Inggeris datang meredah Pahang
bersama peluru bersama senapang
membunuh menangkap setiap pejuang

Sungai Semantan berubah merah
bukan sarap hilir ke kuala
bukan rakit mudik ke hulu
arus merahnya menjulang mayat
pahlawan bangsa pahlawan rakyat
tujuh liang dadanya tersayat

Pahlawan!
Untukmu derita untukmu penjara
bukan bintang tersemat di dada
semangatmu api negara berdaulat
namamu terukir di jantung rakyat.

Wednesday, August 15, 2012

Panduan Menyambut Hari Raya Aidilfitri Cara Sunnah


 Islam adalah satu-satunya agama yang diredhai oleh Allah serta agama paling sempurna. Firman Allah S.W.T: “Pada hari ini, Aku telah sempurnakan bagi kamu agama kamu dan Aku telah cukupkan nikmat-Ku kepadamu, dan Aku telah redha Islam itu menjadi agamamu.” – Surah al-Maaidah: 3.Kesempurnaan Islam itu terserlah apabila ia mampu menangani segala permasalahan manusia secara menyeluruh. Islam telah membicarakan isu-isu bersifat global seperti sistem ekonomi, sistem pemerintahan malah ia juga membicarakan sekecil-kecil perkaraseperti adab masuk ke tandas dan beristinjak.Oleh itu, tidak hairanlah sekiranya Islam juga telah memberikan garis panduan berkaitan tatacara menyambut hari-hari kebesarannya seperti hari raya Aidilfitri ini.

Adalah penting bagi kita untuk sentiasa menjadikan al-Quran dan sunnah sebagai petunjuk dalam mengendalikan upacara sambutan Aidilfitri kerana inilah masa untuk kita semua membuktikan bahawa kita benar-benar telah menjadi seorang insan yang bertakwa setelah melalui bulan Ramadan kerana padanya terdapat ibadah puasa yang berupaya membentuk golongan muttaqin(orang yang bertakwa).Justeru itu, ada baiknya sekiranya kita mengetahui apakah amalan-amalan yang telah diajar oleh Rasulullah s.a.w sempena menyambut ketibaan hari lebaran Aidilfitri ini.

1. Bertakbir

Bertakbir pada tarikh 1 Syawal bersempena Aidilfitri merupakan suatu amalan yang disyariatkan. Takbir pada hari Aidilfitri bermula ketika terlihatnya hilal (anak bulan) dan berakhir setelah selesainya kemuncak hari raya, iaitu ketika imam selesai berkhutbah. Firman Allah S.W.T:“Supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadan), supaya kamu membesarkan Allah (dengan bertakbir) kerana telah memberi petunjuk-Nya kepada kamu dan supaya kamu bersyukur.” – Surah al-Baqarah:185.Adalah juga disunnahkan untuk kita bertakbir disepanjang perjalanan dari rumah kita menuju ke masjid untu menunaikan solat Aidilfitri. Menurut Syeikh Muhammad Nasiruddin al-Albani r.h:“Mengenai syariat bertakbir (pada hari raya Aidilfitri) yang perlu dilakukan oleh kaum muslimin ialah bertakbir dengan suara lantang ketika dalam perjalanan menuju ke tempat solat walaupun kebanyakan umat Islam mula memandang remeh sunnah ini.” – RujukKitab Meneladani Rasulullah S.a.w Dalam Berhari Raya, karya Syeikh Ali Hassan bin Ali al-Halabi al-Atsari, ms. 32Bertakbir sejak mula keluar dari rumah bertujuan menyerlahkan syiar Islam di setiap pelusuk jalan yang dilalui ketika menuju ke tempat solat.

2. Lafaz ucapan selamat pada hari raya Aidilfitri

Majoriti amalan umat Islam di Malaysia akan mengucapkan antara satu sama lain pada hari lebaran dengan ucapan ‘Selamat Hari Raya Aidil Fitri, Maaf Zahir dan Batin’. Namun, apa yang lebih bertepatan dengan amalan para salafussoleh dalam meneladani sunnah Nabi s.a.w adalah sebagaimana yang diceritakan oleh al-Hafiz Ibn Hajar al-’Asqalani r.h yang dinukilkan daripada Jubair bin Nufair r.a katanya:“Apabila para sahabat Rasulullah s.a.w bertemu di hari raya, sebahagian mereka mengucapkan kepada yang lain ‘taqabbalullah minna waminka’ (Semoga Allah menerimaamalan kami dan amalanmu).” – Rujuk Fath al-Bari, al-Hafiz Ibn Hajar al-’Asqalani, , jil. 5, ms. 270-271. Menurut beliau hadis ini berstatus hasan.

3. Meneruskan qiamullail

Jika sepanjang bulan Ramadan kita telah bersungguh-sungguh menghidupkan malam kita dengan pelbagai ibadah terutamanya solat qiyam Ramadan (solat tarawih), ia seharusnya diteruskan juga pada hari-hari berikutnya dengan mengerjakan solat tahajjud. Saranan ini tidak bermaksud mengkhususkan pada malam Aidilfitri untuk dikerjakan qiamullail. Apa yang cuba ditekankan di sini adalah semangat mengerjakan qiyam Ramadan (solat tarawih) haruslah diteruskan dengan mengerjakan qiamullail pada hari-hari berikutnya sesudah bulan Ramadan.

4. Mandi pada pagi hari raya

Disunnahkan mandi di pagi hari raya sebagaimana mandi wajib, iaitu sebelum berangkat menuju ke tempat perlaksanaan solat Aidilfitri. Ali bin Abi Thalib r.a pernah ditanya mengenai mandi. Adakah diharuskan mandi setiap hari? Beliau menjawab:“Tidak harus melakukannya. Namun, mandi yang diharuskan ialah mandi pada hari Jumaat, hari Arafah, hari Aidiladha dan Aidilfitri.” – Hadis riwayat Imam Syafie di dalam Musnad al-Syafi’i, jil. 1, ms. 118-119.

5. Makan sebelum solat Aidilfitri.

Disunnahkan kaum muslimin menjamah makanan sebelum berangkat menunaikan solat Aidilfitri. Perbuatan ini bertujuan menutup segala andaian bahawa dibenarkan berpuasa pada hari raya. Menurut al-Muhallab r.h:“Mengenai hikmah menjamah makanan sebelum mengerjakan solat hari raya adalah agar seseorang tidak berpendapat bahawa dia boleh berpuasa sehingga solat hari raya Aidilfitri dilaksanakan. Seolah-olah Rasulullah s.a.w ingin menutup prasangka semacam ini.” – Rujuk Fath al-Bari, jil. 5, ms. 272.Kebiasaannya, Rasulullah s.a.w akan memakan kurma dalam jumlah yang ganjil pada pagi hari raya. Namun, tidak bermakna umat Islam perlu menyediakan buah kurma untuk dimakan pada pagi hari raya Aidilfitri. Mereka bebas memakan apa sahaja. Tetapi, mengikut sunnah itu lebih baik daripada menyanggahinya. Sedangkan, sunnah itu termasuk perkara tauqifi (tidak boleh dipersoalkan). Anas bin Malik r.a berkata:“Rasulullah s.a.w tidak akan pergi ke tempat solat pada pagi Aidilfitri sebelum memakan beberapa biji kurma.” Murajja’ bin Raja’ berkata: Ubaidillah menceritakan kepadaku bahawa Anas r.a berkata: Rasulullah s.a.w memakannya dalam jumlah yang ganjil.” – Hadis riwayat al-Bukhari di dalam Sahihnya, no: 953.Namun, jika tidak memiliki kurma maka dibolehkan untuk mengisi perut dengan makanan lain terutamanya makanan yang manis-manis seperti madu. Sekiranya tidak ada makanan sama sekali, memadai dengan hanya meminum air.

6. Memakai pakaian yang indah

Disunnahkan kaum muslimin menghiaskan diri dengan pakaian yang indah-indah pada hari raya. Imam Syafier.h berkata:“Aku lebih menyukai seseorang memakai pakaian terbaik yang dimilikinya pada hari-hari raya, iaitu pada hari Jumaat, dua hari raya (Aidiladha dan Aidilfitri) dan tempat diadakan majlis (seperti majlis perkahwinan). Dia hendaklah memakai baju yang bersih dan memakai wangi-wangian.” – Rujuk Ringkasan Kitab Al-Umm, Imam al-Syafi’I, jil. 1, ms. 327.

Bagi kaum wanita pula walaupun disunnahkan memakai pakaian yang terbaik, namun mereka hendaklah menghindari dari memakai pakaian yang bercorak-corak serta perhiasan yang berlebih-lebihan sehingga menarik perhatian golongan lelaki. Bagi golongan kanak-kanak pula, Imam Syafie r.h menambah:

“Mengenai golongan kanak-kanak pula, mereka boleh memakai pakaian paling bagus yang dimilikinya, baik lelaki mahupun perempuan dan mereka juga boleh memakai perhiasan emas atau apa sahaja perhiasan.” – Rujuk Ringkasan Kitab al-Umm, Imam Syafie, jil. 1, ms. 327.

Semoga di pagi hari raya kita akan memilih pakaian yang terbaik serta paling mahal mengikut kemampuan masing-masing menuju ke tempat solat hari raya. Disunnahkan juga bagi kaum lelaki memakai wangi-wangian tetapi tidak disunnahkan kepada kaum wanita. Sabda Rasulullah s.a.w:

“Mana-mana wanita yang memakai wangian lalu dia melintas di hadapan lelaki supaya mereka dapat menghidu kewangiannya, dia adalah penzina.” – Hadis riwayat al-Nasaai di dalam Sunannya. no: 5036.

Namun begitu bukanlah bermakna kaum wanita harus membiarkan dirinya berbau busuk. Islam adalah agama yang menitik-beratkan kebersihan serta kesihatan diri. Dibenarkan bagi wanita untuk memakai wangian yang keharuman sekadar untuk menjaga dirinya dari berbau busuk dan tidak sehingga menarik perhatian orang di sekelilingnya. Haruman-haruman yang kuat dan boleh menaikkan nafsu berahi hanyalah khusus untuk suaminya.

7. Berjalan kaki menuju tempat dikerjakan solat hari raya.

Umat Islam dianjurkan berjalan kaki menuju ke tempat solat Aidilfitri jika tidak keberatan. Ali bin Abi Thalib r.a:

“Termasuk sunnah, iaitu engkau berjalan kaki menuju ke tempat solat hari raya dan memakan sesuatu sebelum berangkat.” – Hadis riwayat al-Tirmizi di dalam Sunannya, no: 487.

Namun begitu bagi yang sesiapa yang perlu menggunakan kenderaan kerana tempat solat terlalu jauh, ia dibolehkan dalam syarak. Tetapi, berjalan kaki menuju ke tempat solat lebih afdal berbanding menaiki kenderaan.

8. Mengikuti jalan yang berbeza ketika pergi dan kembali dari mengerjakan solat hari raya.


Disunnahkan juga mengikuti jalan yang berbeza ketika pergi dan kembali dari mengerjakan solat hari raya. Jabir bin ‘Abdullah r.a berkata:“Nabi s.a.w melalui jalan yang berbeza pada hari raya.” – Hadis riwayat al-Bukhari di dalam Sahihnya, no: 986.

Imam Ibn Qayyim al-Jauziyyah r.h berkata:

“Baginda s.a.w selalu melalui jalan yang berbeza ketika menuju dan pulang dari tempat solat pada hari raya. Ada yang berpendapat, hal ini dilakukan agar dapat bersalaman dengan orang-orang yang melalui kedua-dua jalan itu. Sebahagian lain berpendapat untukmemberikan barakah kepada mereka. Ada juga berpendapat untuk memberikan pertolongan kepada mereka yang memerlukannya di kedua-dua jalan itu. Menurut pendapat lain pula untuk menampakkan syiar Islam di jalan-jalan. Pendapat yang lebih tepat adalah supaya perjalanan yang ditempuh lebih jauh (banyak langkahnya). Orang yang berjalan ke masjid atau tempat solat, salah satu langkah kakinya akan meninggikandarjat. Sedangkan langkah kaki yang lain akan menghapuskan kesalahan-kesalahannya.” – Rujuk Zaadul Ma’ad, Ibn al-Qayyim al-Jauziyyah, ms. 49.

9. Tempat perlaksanaan solat hari raya

Sunnah mengerjakan solat hari raya di kawasan lapang atau musolla (tempat terbuka seperti padang sehingga khatib dapat melihat semua hadirin) merupakan satu amalan yang jarang dilakukan di Malaysia melainkan beberapa kelompok kecil yang benar-benar kuat berpegang kepada sunnah Nabi s.a.w. Apakah musolla itu berbeza dengan masjid? Abu Said al-Khudri r.a berkata:

“Pada hari Aidilfitri dan Aidiladha, Rasulullah s.a.w keluar menuju ke musolla. Ketika itu, perkara pertama yang dilakukan oleh baginda ialah mengerjakan solat hari raya (tanpa ada sebarang solat sunat).” – Hadis riwayat al-Bukhari di dalam Sahihnya, no: 956.

Tentang hikmah mengerjakan solat hari raya di musolla, Syeikh Abu Ubaidah Masyhur bin Hasan telah berkata:

“Sesungguhnya mengerjakan kedua-dua solat hari raya di tanah lapang mengandungi hikmah yang besar. Di antaranya adalah seluruh kaum muslimin setidak-tidaknya mereka boleh berkumpul bersama (bersua muka) dua kali dalam setahun. Semua orang dari seluruh pelusuk negeri akan berkumpul di sebuah tempat sama ada lelaki, perempuan atau kanak-kanak. Mereka semua menghadap Allah dengan hati yang penuh konsentrasi, dikumpulkan dengan satu kalimat (tauhid), solat di belakang seorang imam, membaca takbir dan tahlil bersama dan berdoa kepada Allah dengan penuh ikhlas. Seakan-akan hati mereka terikat menjadi satu, merasa bahagia dan mensyukuri nikmat Allah yang telah dilimpahkan kepada mereka. Dengan itu, hari raya benar-benar bermakna bagi mereka.” – Rujuk Koreksi Total Ritual Shalat, Syeikh Abu Ubaidah Masyhur bin Hasan, ms. 394.

10. Mengerjakan Solat Aidilfitri

Di antara syiar yang paling utama dalam menyambut Aidilfitri adalah perlakasanaan solat Aidilfitri sebanyak 2 rakaat oleh seluruh umat Islam. Ibn Abbas r.a berkata:“Rasulullah s.a.w telah keluar pada hari raya Aidilfitri kemudian terus mengerjakan solat hari raya sebanyak dua rakaat. Baginda tidak melakukan sebarang solat sebelumnya dan sesudahnya.” – Hadis riwayat al-Bukhari di dalam Sahihnya, no: 989.Disunnahkan menyampaikan khutbah sesudah mengerjakan solat hari raya Aidilfitri. Abu Sa’id al-Khudri r.a berkata:

“Pada hari raya Aidilfitri dan Aidiladha, Rasulullah s.a.w akan keluar menuju musolla. Perkara pertama yang dilakukan oleh baginda (apabila tiba di masjid) baginda akan mengimami solat. Kemudian, baginda akan berpusing dan menghadap ke arah makmum yang sedang duduk di dalam saf mereka. Seterusnya, baginda akan memberikan nasihat, wasiat dan perintah kepada mereka (khutbah).” – Hadis riwayat al-Bukhari di dalam Sahihnya, no: 956.

Para jemaah tidak diwajibkan menghadiri atau mendengar khutbah hari raya. Sebaik sahaja selesai mengerjakan solat hari raya, sesiapa yang tidak ingin turut serta mendengar khutbah maka dia dibenarkan meninggalkan majlis itu. Abdullah bin al-Sa’ib r.a berkata:

“Aku pernah menghadiri solat hari raya bersama Nabi s.a.w. Setelah selesai solat baginda bersabda: Sesungguhnya kami akan berkhutbah. Oleh itu, sesiapa ingin duduk mendengar khutbah, dia boleh duduk. Sesiapa yang ingin pergi, dia boleh beredar.” – Hadis riwayat Abu Daud di dalam Sunannya, no: 975.


11. Bergembira Pada Hari Raya Aidilfitri

Islam adalah agama yang begitu praktikal lagi munasabah. Setelah sebulan umat Islam memberi tumpuan sepenuhnya untuk beribadah kepada Allah, maka kini tiba masanya untuk menyambut kejayaan itu dengan kegembiraan dan kemeriahan. Oleh itu, usaha-usaha untuk menimbulkan suasana kegembiraan di dalam keluarga masing-masing pada hari raya Aidilfitri adalah sebahagian daripada syiar Islam. Suasana kegembiraan ini berbeza mengikut adat setempat. Bagi kita di Malaysia, kegembiraan sambutan hari raya Aidilfitri dapat dilihat dengan memakai baju-baju baru yang indah, seluruh ahli keluarga berkumpul, ziarah-menziarah sesama umat Islam dan pelbagai lagi. Di sesetengah negara Timur Tengah, cuti umum hari raya Aidilfitri dipergunakan untuk membawa ahli keluargabersiar-siar serta berkelah di tempat-tempat peranginan. Semua bentuk suasana kegembiraan dan kemeriahan ini adalah sebahagian dari tuntutan agama Islam sempena menyambut hari raya Aidilfitri selagi ia dilaksanakan sesuai dengan lunas-lunas syarak. Syeikh Sayyid Sabiq r.h berkata:

“Mengadakan permainan serta kegembiraan yang tidak melanggar aturan agama, termasuk pelbagai bentuk nyanyian yang baik (dari segi makna), semua itu termasuk syiar agama yang disyariatkan oleh Allah pada hari raya untuk melatih tubuh jasmani dan memberi kepuasan serta kegirangan hati.” – Rujuk Fiqh al-Sunnah, Syeikh Sayyid Sabiq, jil. 2, ms. 290.

Rasulullah s.a.w sendiri telah membenarkan penduduk Madinah al-Munawwarah bergembira apabila munculnya hari raya Aidilfitri dan Aidiladha. Anas bin Malik r.a berkata:

“Nabi s.a.w pernah datang ke Madinah sedangkan penduduknya memiliki dua hari raya yang mana mereka bermain-main (bergembira) di masa jahiliah pada kedua-dua hari itu. Lalu baginda berkata: Aku datang kepada kamu semua sedangkan kamu memiliki dua hari (raya) yang menjadi medan permainan kalian pada masa jahiliyyah. Sabdanya lagi: Sesungguhnya Allah telah menggantikan kedua-dua hari itu dengan yang lebihbaik, iaitu hari raya Aidiladha dan Aidilfitri.” – Hadis riwayat al-Nasaai di dalam Sunannya, no: 959.

12. Mengerjakan Puasa Sunat Enam Hari Pada Bulan Syawal

Sabda Rasulullah s.a.w:“Sesiapa yang berpuasa pada bulan Ramadan lalu diiringi dengan puasa enam hari di bulan Syawal, seolah-olah dia telah berpuasa setahun.” – Hadis riwayat Muslim di dalam Sahihnya, no: 1164.

Demikianlah keutamaan puasa sunat enam hari di bulan Syawal. Cara yang paling afdal untuk melaksanakannya adalah memulakan berpuasa sesudah hari raya Aidilfitri secara berturut-turut (bermula pada 2 Syawal) sebagaimana yang ditetapkan oleh para ulama. Ini juga merupakan pendapat Imam Abu Hanifah dan Imam Syafie r.h. Namun, seseorang bebas memilih mana-mana hari sepanjang bulan Syawal sama ada di awal, pertengahanmahupun di akhirnya bahkan dia juga boleh mengerjakan secara berturut-turut atau berpisah-pisah. Amalan sesetengah pihak yang melakukan puasa qada dan sunat Syawal secara serentak mengikut formula dua dalam satu merupakan perbuatan bid’ah yang tidak ada dalilnya dari mana-mana hadis Nabi s.a.w yang thabit. Oleh itu, afdhal menyempurnakan puasa bulan Ramadan yang ditinggalkan terlebih dahulu diikuti puasa sunat di bulan Syawal. Perbuatan ini lebih bertepatan dengan maksud hadis di atas untuk mendapat keutamaannya, iaitu seolah-olah berpuasa setahun.

PENUTUP

Inilah sebahagian daripada hukum-hakam dan amalan yang disunnahkan ketika menyambut bulan Ramadan al-Mubarak dan hari raya Aidilfitri menurut al-Quran dan sunnah yang sepatutnya dijadikan contoh ikutan bagi seluruh umat Islam. Mudah-mudahan, sambutan hari raya Aidilfitri yang akan menjelma nanti disambut dengan penuh keikhlasan, kemeriahan dan selari dengan perintah Allah serta Rasul-Nya s.a.w.


Friday, August 10, 2012

Renungan 10 Akhir Ramadhan

SOALAN: Saya seorang Muslim yang sudah lama meninggalkan ajaran Islam secara serius, sama ada dalam bentuk kepercayaan, pegangan, dan dalam amal ibadat. Tetapi dalam kesempatan berkunjung ke surau berdekatan rumah untuk bersolat Tarawih pada tahun ini dan mendengar siri tazkirah, mula melahirkan bibit-bibit kesedaran untuk menjadi hamba Allah yang mempraktikkan Islam.

Dalam salah satu siri tazkirah, ada disebut bahawa Sayidina Umar bin al-Khattab pun sebelum memeluk Islam, merupakan seorang yang ada cita-cita untuk membunuh Nabi Muhammad s.a.w. Bukan setakat itu, malah dia juga terbabit dalam menanam anak perempuannya pada zaman jahiliah, meminum arak, berfoya-foya, tetapi akhirnya selepas memeluk Islam jadi baik.

Persoalannya, bolehkah saya boleh menjadi seperti beliau (Umar), sedangkan saya dilahirkan sebagai seorang Islam berbeza dengan beliau yang tidak Islam.�Saya ingin sangat nasihat atau kaunseling ustaz, bagaimana saya boleh menjadi seorang Muslim yang baik pada Ramadan kali ini. - Abdul Muhaimin Ismail, Kg Chalok Barat, Setiu, Terengganu

JAWAPAN: Kesempatan hidup selama 60 atau 70 tahun di dunia ini perlu dimanfaatkan dengan sebaik-baiknya. Tuhan serta agama yang benar dan betul perlu dicari agar nasib kita nanti di akhirat lebih baik dan beruntung. Orang yang malang ialah mereka yang gagal mencari tuhan dan jalan yang benar untuk hidup di dunia ini lalu dia dibakar api neraka di akhirat kelak.

Jadi apabila saudara telah menemui agama dan tuhan yang sebenar saudara perlu istiqamah melaksanakan segala suruhan dan menghindari segala bentuk larangan-Nya. Jika tidak anda sama sahaja dengan manusia yang meraba-raba mencari tuhan dan jalan kehidupan yang diredainya.

Kehidupan dan sejarah yang dilalui oleh para leluhur seperti Sayidina Umar itu adalah suratan takdir bagi beliau. Beliau hidup dalam zaman kegelapan jahiliah yang sangat pekat. Namun Allah telah mengangkat mertabat beliau menjadi sahabat Rasul yang kedudukannya bagaikan bintang di langit. Jihad dan kesungguhan serta sumbangan jasa bakti beliau ketika itu tidak boleh disamakan dengan kaadaan sekarang. Saudara hidup dalam zaman Islam sudah berkembang lama; walaupun sudah banyak yang ditinggalkan ajarannya.

Apa yang penting ialah kita menunaikan ajaran Islam sepertimana yang diajar oleh Rasul dan sahabat-sahabat baginda. Dalam bulan Ramadhan ini kita disuruh menunaikan puasa pada waktu siangnya; kerana Rasulullah bersabda yang bermaksud: "Siapa yang berpuasa Ramadan dengan sukarela kerana dorongan keimanan semata-mata maka dosa-dosanya diampunkan."

Dalam sebuah hadis baginda menegaskan: "Dosa-dosa kecil seseorang berkaitan keluarga, harta dan jiran tetangganya dilupuskan oleh ibadat solat, puasa dan sedekah."

Puasa juga menurut baginda ibarat benteng atau tembok yang sangat kukuh menghindarkan kita daripada api neraka.

Dalam hadis lain pula baginda mengatakan: "Puasa dan amalan membaca al-Quran akan membantu seseorang itu pada hari kiamat kelak."

Abdullah bin Amru meriwayatkan daripada Rasulullah bahawa baginda bersabda: �Puasa dan amalan membaca al-Quran akan membantu seseorang itu pada hari kiamat kelak. (Ketika itu) puasa akan berkata: "Hai Tuhan aku telah menghalangnya daripada menjamah makanan dan melempiaskan nafsu syahwatnya oleh itu ampunkanlah dosanya kerana itu. Quran pula akan berkata: Hai Tuhan aku telah menyebabkan dia kurang tidur pada waktu malam oleh itu maafkanlah kesalahannya kerana itu. Baginda berkata (akhirnya) dia diberi pelepasan." (Hadis riwayat Ahmad

Pada bulan Ramadhan anda boleh memulakan taubat nasuha kepada Allah untuk meninggalkan segala perangai buruk seperti degil untuk tunduk kepada arahan dan tegahan agama, enggan melaksanakan kewajipan syara', suka melewatkan solat dan sebagainya.

Inilah bulan yang paling baik untuk anda memulakan corak hidup baru yang penuh keimanan, syukur, taat, inabah dan khusyuk dalam mengerjakan solat dan ibadah.

Inilah masa untuk berhijrah daripada pegangan dan ajaran yang salah dari sudut pemikiran dan budaya kepada kehidupan Islam yang sejati dan hakiki. Inilah saat yang paling sesuai kita berhijrah kepada landasan perjuangan politik Islam dan meninggalkan landasan politik berasaskan kaum atau tanah. Apabila nawaitu dan akidah kita benar maka solat dan puasa serta sedekah akan diterima Allah insya-Allah.Jika tidak segala amal ibadat menjadi sia-sia.

Dalam bulan yang mulia ini kita boleh membanyakkan sebutan zikir dan doa kepada Allah. Rasulullah menegaskan: Tiga orang yang doa mereka tidak akan dihampakan oleh Allah - orang yang berpuasa hinggalah dia berbuka, penguasa atau pemerintah yang adil dan doa orang teraniaya.(Hadis riwayat Termizi)

Pada bulan mulia ini juga pahala amal soleh akan digandakan oleh Allah. Sebab itu banyakkan bersedekah; menyumbang bakti dan budi. Nabi adalah seorang yang pemurah, apabila tiba Ramadan baginda adalah orang yang paling banyak memberi dan bersedekah.

Kepanasan matahari dan suasana yang terik di samping perut yang lapar membentuk seseorang agar tabah dan sabar berhadapan dengan rintangan.; inilah antara hikmat disyariatkan puasa. Ibadah ini mahu mencanai sifat tabah dan semangat yang kental serta azam yang kukuh untuk menjayakan cita-cita murni. Kesabaran ini menyebabkan dia tidak membalas cercaan orang dengan cercaan yang serupa; sebaliknya dengan jiwa besar dia mengatakan kepada mereka: "saya sedang berpuasa."

Sifat ini akan membawa kepada suasana damai dan tenteram dalam masyarakat.

Anda tidak perlu memikirkan diri anda boleh melampaui martabat Sayidina Umar justeru martabat Umar martabat yang sukar untuk ditandingi oleh orang seperti kita. Namun saudara boleh bercita-cita untuk menjadi insan terbaik dengan meluruskan niat, membersihkan hati dan meningkatkan kualiti dan jati diri sehingga mencapai darjat kemanusiaan yang mulia dan luhur.

Saudara boleh menyegerakan taubat kepada Allah beristighfar dan menyesali dosa-dosa yang lalu dan berazam untuk menghindarinya dan memulihkan kesan-kesan buruk terhadap dosa yang sudah berlaku.

Saudara boleh menyegerakan solat pada waktunya, solat berjemaah dengan berusaha mendapatkan takbir yang pertama bersama imam, menunaikan sunat rawatib dan amal soleh yang lain.

Banyakkan solat dan qiamullaili dengan berbagai jenis solat sunat yang lain, membaca qunut dan doa pada waktu sahur.

Saudara juga boleh membiasakan diri dengan tilawah al Quran. Jadikan tilawah sebagai adat dan amalan lazim harian anda. Indahkan al-Quran dengan suara bacaan anda yang merdu, khusyuk dan sayu.

Sambungkan silaturrahim, ziarahi kerabat dan saudara mara, maafkan kesalahan orang lain, jalin hubungan mesra dengan jiran tetangga dan orang kampung tempat tinggal anda. Banyakkan amalan bersedekah dan menderma.

Tunaikan zakat harta, keluarkan nafkah untuk anak isteri dan kerabat handai. Bantu golongan miskin dan orang yang tidak berdaya dan golongan tetindas di Mindanao, Pattani, Palestin, Afghanistan, Iraq, Darfur dan lain-lain.

Bersihkan jiwa dan hati daripada melihat orang lain; lebih-lebih lagi beranggapan para leluhur seperti Umar lebih jelek kedudukannya daripada kita. Sebaliknya kita harus meletakkan penghormatan yang sangat tinggi kepada para sahabat Rasulullah s.a.w. yang disebut oleh oleh baginda sebagai bintang-bintang di langit.

Siapa sahaja daripada kalangan para sahabat yang kita contohi pasti kita akan mendapat petunjuk. Muliakan kedudukan mereka. Dalam masa yang sama cubalah hidup mencontohi mereka.

Dalam pada itu jika anda mempunyai rezeki yang cukup untuk menunaikan umrah dalam bulan Ramadan maka bulatkan tekad dan niat untuk menunaikannya dalam bulan puasa ini.

Rasulullah s.a.w. bersabda: "Penunaian umrah dalam bulan Ramadan menyamai ibadah haji (pahalanya) atau seolah-olah menunaikan haji bersama-samaku." ( Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Selanjutnya anda manfaatkanlah bulan Ramadan untuk meningkat usaha jihad menegak dan menobatkan ajaran Islam; sama ada dengan lisan, tulisan, harta mahu pun nyawa. Bulan Ramadan ini bulan menjana perubahan merobohkan kebatilan dan kekufuran dan menegakkan keadilan dan cita-cita Islam. Inilah bulan kemenangan untuk umat Islam insya-Allah.

Demikianlah beberapa pesanan ringkas saya untuk saudara laksanakan; semoga saudara mendapat tempat dan martabat yang tinggi di sisi Allah Azza Wa Jalla

Sunday, August 5, 2012

Kelebihan Akhlak yang baik



Nabi Sallallahu 'alaihi wassalam.; bersabda: ”Sesungguhnya aku diutus untuk menyempurnakan akhlak.” (HR Bukhari) 

Allah berfirman: “Sungguh engkau (Muhammad) memiliki akhlak yang agung.” (Al-Qalam: 4)


Rasulullah Sallallahu 'alaihi wassalam pernah ditanya tentang sebab paling banyak yang mengakibatkan orang masuk syurga? Baginda menjawab, “takwa kepada Allah dan akhlak mulia”. Beliau juga ditanya tentang sebab paling banyak yang mengakibatkan orang masuk neraka, maka baginda menjawab, “mulut dan kemaluan” (HR. Tirmidzi)

Rasulullah Sallallahu 'alaihi wassalam bersabda, “Mukmin yang paling sempurna imannya ialah yang paling baik akhlaknya." (HR Bukhari, Muslim, Tirmidzi dan Nasai)

Rasulullah Sallallahu 'alaihi wassalam bersabda, “Yang paling memberatkan mizan(timbangan) pada hari kiamat ialah akhlak yang baik.” (HR. Ahmad)

Sabda Rasulullah Sallallahu 'alaihi wassalam, "Aku menjamin dengan sebuah istana yang terdapat di tepi syurga bagi orang yang meninggalkan perdebatan walaupun dia benar, aku menjamin dengan sebuah istana yang terdapat di tengah syurga bagi orang yang meninggalkan dusta walaupun bergurau, dan aku menjamin dengan sebuah istana yang tertinggi bagi orang yang membaguskan akhlaknya.
" [HR Abu Dawud]"

Saturday, August 4, 2012

Sabda Rasulullah SAW :

"Siapa saja membaca satu huruf dari kitab Allah(Al-Quran), maka baginya SATU KEBAIKAN, dan satu kebaikan itu dibalas dengan SEPULUH KALI LIPATNYA."
(HR At-Tirmidzi)